Mawar Dan Syabab Agama

Islamic Widget

Selasa, 21 Februari 2012

~ Cerpen : Kerana Kasihmu~



Hari itu hari minggu. Khairul Sadiq dan sahabat rapatnya, Fikri Mujahid hampir selesai menamatkan satu pusingan joging mengelilingi IPG Miri. Tiba-tiba mereka ternampak Ainul Balqis sedang mengelek buku menuju ke asrama. Serius dan laju langkahnya.

Khairul Sadiq automatik menjadi resah. Dia mengajak sahabatnya berpatah balik. Dia tidak mahu bertembung dengan gadis itu. Fikri Mujahid menurut sahaja. Selepas membuat regangan otot, kedua-dua beradik itu singgah minum di kafeteria.

" Mengapa tiba-tiba je tak nak habiskan pusingan tadi?" Fikri Mujahid menguji.

Ada segaris senyuman mengusik meniti di bibir.

" Mengapa kau senyum-senyum pula?" Khairul Sadiq terasa bagaikan sahabatnya sedang membelek rahsia hatinya.

" Ye la..Aku hairan gak tengok kau gugup bila nampak kelibat si Ainul Balqis tu," usik Fikri Mujahid.

"Entahlah,aku pun tak tau. Setiap kali tembung dengan dia, rasa lain macam je. Resah, berdebar,"akui Khairul Sadiq.

" Itu tandanya kau normal. Ia fitrah tau tak, jadi banyakkan beristighfar." jawab Fikri Mujahid dengan tenang.

" Kita beristighfar ni bukan je sebab rasa cinta itu dosa. Tetapi, takut rasa yang fitrah itu bertukar menjadi fitnah. Apabila kita asyik teringatkan makhluk berbanding Khaliqnya, bukankah itu fitnah? Fitnah berkhayal itu sekiranya tidak dihadapi dengan mujahadah, ia akan merebak menjadi fitnah seterusnya dengan berSMS, call dan dating," terangnya lagi.

Khairul Sadiq berfikir sejenak sambil minum Milo Ais. Begitu juga dengan Fikri Mujahid.

" Kau rasa perlu tak aku luahkan rasa hati aku ini segera? Bimbang gak kalau terlepas nanti." Khairul Sadiq meminta pandangan.

" Bagi pendapat aku la, kalau luahkan sekarang and then dalam masa yang sama kedua-duanya belum bersedia, kau sedang bawa diri dan dia kepada dilema besar nanti. Ingat, amanah ilmu menuntut masa dan komitmen yang bukan sedikit." Fikri Mujahid menatap seketika pandangan sahabatnya.

"Hmm," respons Khairul Sadiq.

" Perkahwinan ni perlukan persediaan yang mantap. Anak-anak berkualiti lahir daripada ibu bapa yang bersedia menyusun kualiti pendidikan dan keperluannya nanti. Jangan sampai keputusan terburu-buru boleh merosakkan semua perkara. Perlu fikir jauh lagi mengenai ini." Fikri Mujahid membuka minda.

" Payah gak, baik aku siapkan diri betul-betul dulu. Bila masa yang sesuai untuk kahwin, baru luahkan. Jadi, sekarang ni kena banyakkan beristighfar dan mujahadah," ujar Khairul Sadiq.

"Yup," kata Fikri Mujahid dengan memberi senyuman.

****************************************************

Ainul Balqis mengambil kunci dari beg tangannya lalu membuka pintu yang bernombor 202. Sebaik sahaja dibuka, kelihatan Elya Yusra sedang menunaikan solat asar. Ainul Balqis membuka kasutnya dan melangkah masuk lalu meletakkan buku-buku yang dibawanya tadi di ruang meja kesayangannya.

" Dah lama sampai Qis,?" tanya Elya.

"Baru je kejap tadi. Letih la cari buku tadi," balas Balqis.

Balqis menghempaskan badannya ke katil dan menghela nafas panjang. Elya duduk di sampingnya.

" Qis, aku nak tanya sikit boleh?" soal Elya.

"Tanya banyak pun tak pe la sahabatku. InsyaAllah, aku jawabkan ye,"kata Balqis sambil menguntum mesra.

" Kau perasan tak masa Forum Cinta Rasul malam tadi, ada seseorang tengok kau. Bila aku dapat tangkap je dia tengok kau, aku pun buat-buat la batuk. Punyalah terkejut dia. Terus dia tengok kat tempat lain." Elya menjelaskan.

Balqis bingkas bangun sambil memandang wajah Elya dengan kehairanan.

"Siapa pulak ni??"

"Kau nak tau siapa orang tu. Aku pasti kau memang kenal sangat dia tu, bahkan satu kampus ni kenal dengan dia tau tak. Aku sebutkan huruf diawal nama dia je, mesti kau dapat teka. Hurufnya bermula dengan 'K'," kata Elya sambil tersengih-sengih.

"Hmm, jap nama mula dengan huruf 'K', fikir Balqis.

Balqis tiba-tiba tersentak. Dia dah dapat teka siapa yang dimaksudkan Elya tadi.

" Khairul Sadiq, Setiausaha Kelab Remaja Amal Miri merangkap Imam Surau Falihin, betul ke tekaan ku Elya?"

" Ya, benar tekaan kau"

Terasa debaran dihati Balqis tatkala dia dapat meneka nama insan itu. Hal ini kerana, di hatinya kini dia mendamba seorang akhi iaitu Khairul Sadik. Namun, dia terus beristighfar kerna tak mau cinta menguasai dirinya.

" Sebagai sahabat, aku nak nasihat kat kau la. Untuk peringatan buat kau dan jugak aku. Sebaiknya, kita ni sebagai manusia tetap perlu persiapkan diri tak kira dari segi iman, akidah, akhlak dan ilmu. Kerana, orang yang mempersiapkan diri ni selalunya tak perlu susah-susah nak mengejar cinta. Cinta yang akan mengejarnya. Cinta yang di impikan pula mudah tunduk kepadanya," kata Elya.

Ainul Balqis mengangguk-angguk menandakan setiap yang dikatkan oleh sahabatnya memang benar sekali.

" Apa pun, dalam segala urusan kita perlu tanya dengan Allah melalui solat istikharah," ungkap Balqis.

"Ya, istikharah menjadi budaya Nabi dan para sahabat dalam membuat keputusan. Jadi, kau banyakkan solat taubat, solat hajat dan solat istikharah. InsyaAllah, Allah akan permudahkan jalan untuk kau," pesan Elya.

*********************************************************

Disaat semua insan dibelai mimpi yang indah, Ainul Balqis bingkas bangun untuk mengambil wuduk lalu menunaikan solat sunat taubat, solat hajat dan solat istikharah. Balqis tegak dalam solatnya. Perasaan takut kepada zina hati dan sebarang fitnah menjalar ke seluruh saraf dan aliran darahnya. Hati dan fikirannya bersatu dalam rayuannya kepada Allah. Dalam sujud dia berdoa,

" Ya Allah, rahmatilah hambaMu ini dengan meninggalkan maksiat selamanya, selama hambaM yang lemah ini Engkau beri hidup di dunia ini. Duhai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati hambaMu ini untuk taat kepadaMu dan meninggalkan segala laranganMu. Amin"

Usai salam, Balqis langsung beristighfar dan berdoa agar hatinya diselubungi cinta dan taat kepada Allah dan RasulNya. Balqis berfikir sejenak dan teringat sepotong ayat daripada Surah As-Syams:

"Benar-benar beruntunglah orang-orang yang suka mensucikan jiwanya. Dan benar-benar rugilah orang-orang yang gemar mengotorkan jiwanya." (Asy-Syams: 9-10)

Hati Balqis terasa aman dan damai. Selesai Balqis melipat telekungnya dan sejadah, Balqis menghempaskan dirinya di atas katil. Belum sampai seminit dia sudah terjatuh dalam tidur yang nyenyak.

********************************************************

Keesokkan petang, tamat sahaja kuliah..Ainul Balqis dan Elya Yusra bergegas ke tempat halaqah yang diadakan di taman IPG Miri. Halaqah tersebut diketuai oleh Ketua Naqibah IPG iaitu Kak Humaira. Mereka sedang hangat membincangkan isu yang dicetus oleh salah seorang ahli kumpulan.

" Baiklah, sekarang akak mulakan dengan memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerna kita masih bersama-sama berada di dalam halaqah ini. Halaqah cinta ini terbina oleh hati-hati yang mudah mengalirkan air mata kerana Allah. Air mata inilah yang akan terus menyuburi taman indah milik kita ini. Ya Allah, kurniakanlah kami mata-mata yang menangis kerana-Mu bukan menangis kerana selain-Mu. Amin." kata Kak Humaira.

" Wahai adik-adikku sekalian, Rasulullah SAW berpesan kepadamu,' Dunia adalah kesenangan dan sebaik-baik kesenangan dunia adalah wanita solehah." tambah Kak Humaira.

Halaqah ini dimulakan dengan sentiasa berzikir dan berselawat ke atas junjungan Nabi SAW. Terasa di jauh sanubari mereka, suatu ikatan yang tersimpul kuat untuk mulakan jalan dakwah mereka sebagai Khalifah di bumi Allah. Terasa kedamaian,ketenangan jiwa dan masalah yang difikirkan selama ini terbuang begitu sahaja.

" Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki yang asing) kerana demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk pada kamu," ujar Balqis.

Kak Humaira dan ahli halaqah tersenyum sambil mengangguk.

" Ingatlah bahawa ciri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya kecuali atas urusan yang diizinkan. Sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Yang tertutup itu indah! Alangkah baiknya jika kita memelihara keindahan diri kita sebagai hadiah yang kudus, suci, mahal dan berharga buat kumbang terpilih yang telah dijanjikan Allah buatmu." ulas Elya.

" Bagaimana kita hendak mengenal pasti sama ada kita serasi atau tidak kalau tak melihat atau bercinta dulu?" soal salah seorang ahli halaqah.

" Kamu lebih utamakan keserasian sikap daripada keserasian taat kepada Allah?" Kak Humaira menyoal balas.

" Orang yang bercinta memang berlakon sehabis daya. Siap boleh menang anugerah lagi tu. Tapi bila dah kahwin, masing-masing baru tau cerita di sebalik tabir. Tak pasal-pasal kena batang hidung sendiri. Hanya asas agama je yang dapat jamin untuk keabadian cinta hingga ke syurga. InsyaAllah," kata Balqis.

" Suami beragama selamanya teristimewa. Sekiranya dia tak menyukai kita, dia takkan menzalimi kita. Sekiranya dia menyukai kita, dia akan buatkan kita bahagia," tambah Elya.

" Indahnya hidup ini andai melayarinya dan bernaungkan keredhaan Allah, bertunjangkan ilmu dan kebenaran, bersulam akhlak penuh menawan. Sesungguhnya, wanita solehah menjadi idaman setiap insan soleh yang bernama Adam. Wanita yang baik itu adalah untuk lelaki yang baik," kata Balqis dengan tegas.

" Soal jodoh sangat rapat dengan soal akhirat.Hunuskan durimu, jangan mudah tergoda. Keindahanmu hanya untuk lelaki bernama suami. Solehahkanlah dirimu agar mendapat suami yang soleh," pesan Balqis lagi.

Masing-masing tersenyum dan berharap agar dikurniakan seorang insan yang soleh yang dapat membimbing di dunia dan akhirat. Mereka menamatkan halaqah mereka dengan hati yang tenang. Tamat halaqah, Ainul Balqis dan Elya Yusra berjalan pulang ke asrama untuk bersihkan diri kerna azan Maghrib akan berkumandang tidak lama lagi. Mereka perlu bersiap sedia untuk solat jemaah di Surau Falihin.

****************************************************

Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Khairul Sadik dan Fikri Mujahid bersegera menuju ke Surau Falihin. Begitu juga dengan Ainul Balqis dan Elya Yusra terus meluru masuk ke ruangan sof wanita di barisan hadapan. Khairul Sadik bertugas bagi mengimamkan solat Maghrib pada waktu itu. Solat tersebut dilaksanakan dengan ruku' dan sujud yang sempurna. Setelah solat, tak lupa ia memuji nama Tuhannya dan memanjatkan doa untuk dirinya, ibubapanya,dan untuk ummat Nabi Muhammad SAW yang sedang berjuang jihad fiisabilillah.

Terasa getaran di hati Ainul Balqis setelah mendengar suara yang mengimamkan solat Maghrib sebentar tadi.

" Ya Allah, apa yang sedang berlaku ini? Jagalah imanku.Jangan biarkan imanku tersasar dari jalanmu Ya Rabbi. Jangan sampai aku mencuri imannya tanpa aku sedari. Ku mohon sungguh Ya Allah. Kuatkanlah imanku," kata Balqis didalam hati.

Elya Yusra memandang Ainul Balqis sambil memegang tangannya dengan lembut. Elya Yusra memahami apa yang berlaku terhadap sahabatnya itu.

"Qis, kau ok kan?" soal Elya.

" Ye, aku ok je. Cuma hati ini kadang-kadang resah je." jawab Balqis.

"Aku faham apa yang kau maksudkan itu. Sebab aku pun mengalami perkara yang sama juga. Ia fitrah tau. Semua manusia takkan terlepas daripada perasaan ini.Sememangnya kita normal, cuma kita perlu banyakkan istighfar dalam apa pun jua. Kita hanya dapat berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan insan yang soleh dan dapat menjadi imam dalam keluarga kita.InsyaAllah." ulas Elya.

Masing-masing tersenyum. Setelah itu, mereka pun beredar dari surau untuk pulang ke asrama. Tidak disangka, hanya Allah yang mengetahui apa yang kita tidak ketahui. Dalam perjalanan pulang, mereka bertembung dengan Khairul Sadik dan Fikri Mujahid yang ingin menuju ke kafeteria. Kelihatan Khairul Sadik dan Ainul Balqis gugup sekali. Masing-masing membuat muka yang tenang padahal hati bagaikan nak jatuh.

"Eyh Balqis,Elya. Hendak balik ke asrama ke?" soal Fikri Mujahid.

" A'a. Kami nak balik asrama sebab nak sambung buat assignment. Esok dah nak hantar," ujar Elya sambil menundukkan pandangannya. Begitu juga dengan Ainul Balqis.

"Baiklah, kami nak balik dulu. Tak boleh cakap lama, nanti boleh timbulkan fitnah. Assalamualaikum."kata Balqis dengan gugup.

" Silakan.Waalaikumussalam." jawab Sadik dan Fikri.

" Jangan difikirkan sangat. Banyakkan istighfar. Syaitan selalu berusaha untuk membuatkan iman kita lemah. Dan disebabkan itu, ramai lelaki kecundang ke jalan maksiat." Ucapan Fikri membuatkan Sadik tersentak.

" Subhanallah, tebalkan iman dihatiku.Hadirku biarlah menjadi penguat iman si gadis. Jangan aku menjadi asbab imannya yang berkurang.Amin." kata Sadik didalam hati.

***********************************************

Beberapa bulan kemudian...

" Assalamualaikum." Suara seorang lelaki dan kelihatan sahabatnya tenang bersahaja disebelahnya.

Ustaz Syukrani berpaling. Khairul Sadik dan Fikri Mujahid sedang tersenyum.

" Sebenarnya Ustaz, kami berdua ada hajat besar nak dibincangkan. Ustaz, free ke masa ni?" tanya Sadik dengan sopan.

" Alhamdulillah, sekarang ni Ustaz free je. Sila duduk." kata Ustaz Syukrani.

Fikri Mujahid memulakan perbualannya terlebih dahulu.

" Macam ni Ustaz, rasanya sudah tiba masa yang sesuai untuk menikah apabila adanya wanita yang dikagumi agama dan akhlaknya," ujar Fikri.

"Kamu nak meminang seseorang ye?'' duga Ustaz Syukrani.

Fikri Mujahid tersenyum manakala Khairul Sadik menganggukkan kepalanya.

" Saya nak menyampaikan hasrat sahabat saya ni yang dah lama meminati Ainul Balqis. Dia berhajat melamar dan menikah khitbah dengan Ainul Balqis. Setelah pengajian barulah diadakan majlis walimah." Fikri Mujahid berterus terang.

Terukir senyuman indah di wajah Ustaz Syukrani.

" Kamu memikirkan tentang sahabat kamu je. Habis tu kamu tak ada calon ke?" Ustaz Syukrani menguji.

Fikri Mujahid ketawa kecil.

"Saya sebenarnya dah ada calon gak Ustaz," kata Fikri Mujahid.

" Siapa pulak gadis bertuah tu ye?" usik Ustaz Syukrani.

" Namanya Elya Yusra," jawab Fikri Mujahid dengan malu-malu.

" Kamu berdua sudah membuat pilihan yang tepat ke setelah solat istikharah?" tanya Ustaz Syukrani.

" Ya, Ustaz. Hati kami tenang," jawab Khairul Sadik dan Fikri Mujahid.

" Baiklah, Ustaz akan utarakan perkara ni kepada mereka berdua. Mereka juga berhak memberi pandangan dan bertanya kepada Allah. Segala keputusan,kita perlu hormati," ujar Ustaz Syukrani.

***************************************

" Balqis, Elya..Ustaz ada perkara hendak bincang sama kamu berdua. Selepas ni, ikut Ustaz ke bilik Ustazah Dhiya," kata Ustaz Syukrani sebelum keluar.

Ustazah Dhiya merupakan salah seorang pensyarah di IPG Miri tersebut bahkan isteri kepada Ustaz Syukrani yang dinikahinya 5 tahun yang lepas.

Balqis dan Elya masing-masing berfikir apa yang berlaku sebenarnya sehingga di suruh ke bilik Ustazah Dhiya. Dalam perjalanan menuju ke bilik Ustaz Dhiya, masing-masing mereka beristighfar agar tiada perkara buruk yang berlaku dan berharap agar adanya berita baik buat mereka berdua.

" Assalamualaikum," Balqis dan Elya memberi salam.

"Waalaikumussalam, masuk Balqis,Elya. Jemput duduk kat sini. Ustazah dan Ustaz ada perkara penting hendak sampaikan. Hajat besar dari seseorang." ujar Ustazah Dhiya.

Rencana yang bukan lagi rahsia. Khairul Sadik dan Fikri Mujahid rupa-rupanya merisik Ainul Balqis dan Elya Yusra daripada Ustaz Syukrani. Akhirnya, mereka berdua menerima lamaran tersebut dengan hati yang tenang. Bagaikan bulan purnama jatuh ke riba. Ternyata, cinta Allah yang dikejar itulah yang menghantar Khairul Sadik dan Fikri Mujahid untuk melamar mereka berdua.

Pernikahan Ainul Balqis dan Khairul Sadik serta Elya Yusra dan Fikri Mujahid berlangsung sederhana dalam suasana barakah. Suatu perasaan indah yang tidak akan pernah dinikmati oleh orang yang syahwatnya tidak pernah berpuasa. Senyuman tidak putus-putus menghiasi bibir. Bisikan alam seakan memberitahu kepada semua bahawa mereka telah bercinta dengan cinta yang halal keranaNya. Di samping itu, sempat juga Khairul Sadik dan Fikri Mujahid mendendangkan sebuah lagu khas buat isteri mereka yang bertajuk ' Kerana Kasihmu'.

Terkadang bicara hati mula berbisik
Kehadiranmu anugerah yang terindah
Mengapa rindu ini semakin hebat ku rasakan
Sekalung cintamu takkan ku persia

Andai dapat ku genggam erat jari jemarimu
Mengharungi nista hidup yang penuh berliku
Harapan ku kau mengerti dan cuba memujuk hati
Terimalah diriku seadanya

Cahaya pesona kasihku terindah untukmu
Terukir dihati hanya untukmu
Sambutlah tangan bawaku terbang ke awan biru
Dengarlah kasihku,dengarlah sayangku

Ku merindu padamu setiap saat waktu
Ku merindu belaianmu dan manjamu kasihku

Terlebih rindu terlebih manja
Terlebih sayang kepadamu
Bagaikan dunia jadi milik kita selama-lamanya

Semusim telah berlalu menggamit jiwaku
Di saatku perlukan wajahmu menjelma
Andai sedetik saatku hidup tanpa dirimu kasih
Tak terdaya ku meluahkannya.

Khairul Sadik dan Fikri Mujahid mengenggam jari jemari isteri masing-masing dengan harapan setiap kasihnya itu akan membuatkan impian mereka untuk mendamba perkahwinan yang penuh mawaddah warahmah dan sakinah berkat ikatan yang suci terpelihara. Kemanisan dan kasih sayang itu juga diharapkan saat bertemu dengan Sang Pencipta.

~ Tamat~

********************************************






Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...